Thursday, March 14, 2024

KESALAHAN DALAM PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU: PENGGUNAAN IMBUHAN BAHASA ASING

PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU

Bahasa merupakan alat perhubungan bagi setiap individu. Menurut Okarisma Mailani et al. (2022), bahasa memiliki hubungan yang amat erat dengan komunikasi. Oleh sebab itu, bahasa menjadi keutamaan dalam komunikasi harian kerana setiap bahasa yang digunakan bertujuan untuk menyampaikan maklumat dan buah fikiran serta mengekspresikan perasaan. Bahasa digunakan dalam dua keadaan sama ada secara lisan mahupun tulisan. Maka, penggunaan bahasa yang baik mampu menghasilkan komunikasi yang bermakna dan berkesan dalam setiap pertuturan atau tulisan yang disampaikan. Penggunaan bahasa yang baik ini semestinya mengikuti sistem bahasa yang sudah ditetapkan untuk mengelakkan berlakunya kesilapan bahasa yang boleh menjejaskan kefahaman makna sesuatu perkataan.


          Perkembangan dan perubahan yang berlaku dalam masyarakat, budaya, ilmu pengetahuan serta teknologi telah mewujudkan banyak perkataan baharu yang digunakan dalam era kini. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), perkara atau konsep baru yang timbul dalam kalangan masyarakat pengguna bahasa disebabkan oleh kemunculan atau penciptaan perkataan baharu dalam sesuatu bahasa. Maka, masyarakat perlu beradaptasi dengan sesuatu yang baharu ekoran daripada perkembangan bahasa dalam perubahan dunia yang sentiasa berkembang maju. Berikut merupakan beberapa faktor pembentukan perkataan baharu:


Rajah 1: Faktor Perkembangan Teknologi


Rajah 2: Faktor Perubahan Sosial dan Budaya


Rajah 3: Faktor Globalisasi


Rajah 4: Faktor Pinjaman Kata

Rajah 5: Faktor Pengaruh Media Sosial



PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU DARIPADA IMBUHAN BAHASA ASING 👽

Kemasukan bentuk-bentuk kata pinjaman dalam sistem bahasa Melayu telah menyebabkan imbuhan bahasa asing perlu dipinjam untuk memenuhi keperluan peristilahan supaya dapat membentuk perkataan baharu yang mendukung makna yang berbeza. Oleh sebab itu, bentuk imbuhan bahasa Melayu telah bertambah kerana terdapatnya unsur-unsur imbuhan bahasa asing yang perlu dipinjam dengan cara diterima secara penuh ataupun mengalami pengubahsuaian mengikut sistem tatabahasa bahasa Melayu.


          Terdapat tiga zaman perkembangan bahasa Melayu yang berkait rapat dengan imbuhan bahasa asing. Menurut Zurina Abdullah & Yasran Aziz (2020), bahasa Sanskrit dan agama Hindu mempengaruhi bahasa Melayu kuno, bahasa Arab dan agama Islam mempengaruhi bahasa Melayu klasik serta bahasa Inggeris iaitu bahasa penjajah mempengaruhi bahasa Melayu moden.


Tiga Jenis Pinjaman Sistem Imbuhan Bahasa Asing:

  • Bahasa Sanskrit 
  • Arab-Parsi
  • Yunani-Latin-Inggeris

1. Bahasa Sanskrit
Pengaruh bahasa Sanskrit mula berleluasa sejak zaman bahasa Melayu kuno. Menurut Taufiq Hashim & Aniswal Ghani (2022), bagi agama Hindu, bahasa ini merupakan bahasa suci. Bahasa Sanskrit mula digunakan secara meluas ketika berlakunya pertukaran barangan antara pedagang India dan Cina serta masyarakat Melayu yang berdagang di Kepulauan Melayu dan India. Peminjaman imbuhan-imbuhan Sanskrit dapat mendukung makna tertentu kepada kata dasar. Imbuhan Sanskrit ini terdiri daripada imbuhan awalan dan akhiran. Berikut merupakan contoh imbuhan awalan dan akhiran bagi imbuhan bahasa Sanskrit:


Rajah 6: Contoh Imbuhan Asing bahasa Sanskrit


2. Arab-Parsi
Kedatangan Islam banyak mempengaruhi bahasa dan sastera Melayu. Menurut Nathesan (2015), kemasukan kata Parsi melalui penyebaran agama yang dilakukan oleh mubaligh Islam dari India. Oleh sebab itu, Parsi atau benua India banyak mempengaruhi masyarakat Arab atau masyarakat Islam Parsi sehingga bahasa Melayu menerima kemasukan perkataan Parsi (Bukhari Lubis, 1990). Walau bagaimanapun, unsur imbuhan Arab-Parsi amat terbatas untuk diserap dalam bahasa Melayu. Imbuhan pinjaman Arab-Parsi ini terdiri daripada imbuhan awalan dan akhiran iaitu:


Rajah 7: Contoh Imbuhan Asing bahasa Arab-Parsi


3.Yunani-Inggeris-Latin
Bahasa Inggeris menjadi bahasa utama dalam dasar bahasa pemerintah Inggeris sejak dahulu kala. Menurut Faridah Nazir et al. (2024), penapakan pihak Inggeris di Pulau Pinang pada abad ke-18 menandakan bermulanya pengaruh bahasa Inggeris dalam bahasa Melayu. Maka, pentadbiran dan sektor pendidikan pada zaman penjajahan Inggeris telah menggunakan bahasa Inggeris secara meluas sebagai bahasa utama (Ibrahim Kamil & Maliati Mohamad, 2020). Pada masa itu, kedudukan bahasa Melayu agak terjejas sebagai bahasa utama di Tanah Melayu dan hal ini menyebabkan banyak imbuhan asing daripada bahasa Yunani-Inggeris-Latin yang diserap masuk ke dalam bahasa Melayu. Imbuhan asing ini terdiri daripada imbuhan awalan dan imbuhan akhiran yang dapat diberikan melalui contoh di bawah:


Rajah 8: Contoh Imbuhan Asing bahasa Yunani-Inggeris-Latin


Pembentukan kata bahasa Melayu juga menyerap masuk imbuhan awalan lain yang bukan sahaja berpotensi untuk dijadikan sebagai imbuhan, malah sebahagiannya merupakan daripada kata pinjaman sendiri. Contoh imbuhan awalan lain dapat dilihat melalui rajah di bawah:


Rajah 9: Contoh Bentuk Awalan Lain


ANALISIS ISU KESALAHAN PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU DARIPADA IMBUHAN BAHASA ASING

Maklumat dapat disalurkan dan disebarkan dengan sangat cepat dan meluas serta dijadikan sebagai suatu perantara dalam komunikasi seseorang yang dinamakan sebagai media. Media memainkan peranan penting dalam menjadi tempat saluran maklumat yang penting kepada masyarakat. Oleh itu, media cetak dan media elektronik dijadikan sebagai tempat rujukan utama masyarakat untuk mengetahui maklumat yang terkini.


          Oleh sebab itu, media-media ini amat mempengaruhi kehidupan masyarakat kerana telah menjadi alat perhubungan yang dapat merentasi ruang sempadan dunia tanpa adanya had batas. Maka, penganalisisan isu kesalahan pembentukan perkataan baharu daripada imbuhan bahasa asing akan dilihat menerusi dua jenis media yang akan digunakan iaitu media cetak dan media elektronik.


MEDIA CETAK
Media cetak merupakan saluran komunikasi berdasarkan bahan cetakan. Bahan cetakan merupakan bahan yang berisi maklumat yang dicetak di atas kertas. Pencetakan bahan-bahan ini bertujuan untuk menyampaikan maklumat kepada masyarakat tentang maklumat terkini. Media cetak amat sesuai untuk dijadikan sebagai bahan dalam pengajaran guru. Guru dapat menjadikan media cetak ini sebagai Bahan Bantu Mengajar (BBM) serta bahan kepada murid untuk memperoleh sesuatu maklumat yang diinginkan. Oleh sebab itu, media cetak ini merupakan media pendidikan yang mudah untuk diperoleh dan disediakan.

MEDIA ELEKTRONIK
Media elektronik turut dijadikan sebagai saluran komunikasi untuk menyampaikan maklumat dengan menggunakan teknologi elektronik kerana lebih bersifatkan teknologi media pada masa ini. Oleh disebabkan berlakunya kepesatan teknologi media elektronik, masyarakat lebih banyak menggunakan media elektronik untuk mencari bahan-bahan tertentu yang diinginkan untuk memperoleh ilmu pengetahuan sendiri berdasarkan bahan bacaan digital yang dibaca. Penggunaan media elektronik ini semestinya turut menyumbang secara meluas dalam sektor pendidikan sehingga dapat meningkatkan keberkesanan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) guru.


CONTOH MEDIA CETAK:


BUKU


JURNAL


MAJALAH


SURAT KHABAR


PAPAN TANDA





CONTOH MEDIA ELEKTRONIK:


TELEVISYEN


TELEFON PINTAR


KOMPUTER


RADIO



ISU KESALAHAN PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU DARIPADA IMBUHAN BAHASA ASING (MEDIA CETAK)


KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA SANSKRIT


1.

(Sumber: Buku KH. Maimoen Zubair Sang Maha Guru, 2021)


Analisis: 'Maha-' merupakan imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit yang membawa makna paling atau tahap tertinggi. Imbuhan awalan ini akan membentuk kata nama dan kata adjektif. Contohnya, perkataan 'mahaguru' telah membentuk kata nama dengan menggabungkan imbuhan awalan 'maha-' dengan kata dasar 'guru'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), 'guru' dapat diertikan sebagai pendidik atau orang yang mengajar. Setelah imbuhan awalan 'maha-' digunakan, maksudnya agak berubah iaitu perkataan 'mahaguru' yang membawa maksud guru yang mempunyai pangkat tertinggi di universiti. Namun begitu, setiap imbuhan yang digunakan bersama dengan kata dasar mestilah dieja rapat dan bukannya dieja terpisah. Maka, ejaan 'maha guru' berdasarkan sumber buku di atas sememangnya salah dan ejaan yang betul ialah 'mahaguru'. Terdapat juga kesalahan ejaan yang lain seperti 'justru' yang perlu dieja 'justeru' serta perkataan 'santri' kepada 'pelajar'. Bahkan ejaan bagi perkataan 'mahaguru' juga perlu dieja dengan huruf kecil kerana 'mahaguru' bukanlah kata nama khas.


2.

(Sumber: Artikel Media Cetak dan Kepentingannya, 2022)


Analisis: Sesetengah imbuhan awalan bahasa Sanskrit juga membawa pengertian bilangan yang dapat membentuk suatu kata nama. Contohnya, imbuhan awalan eka- (satu), dwi- (dua), tri- (tiga) dan panca- (lima). Berdasarkan sumber artikel di atas, terdapat kesalahan dalam penggunaan imbuhan melibatkan imbuhan awalan 'dwi-' yang digabungkan dengan kata dasar 'bahasa'. Gabungan imbuhan awalan 'dwi-' dengan kata dasar 'bahasa' sepatutnya akan membentuk perkataan 'dwibahasa', dan bukannya 'dwi-bahasa' yang dihadirkan dengan tanda sempang. Sama juga seperti imbuhan awalan bilangan yang lain seperti perkataan ekabahasa (satu bahasa), tribahasa (tiga bahasa) serta pancabahasa (lima bahasa) yang perlu dieja dengan rapat. Kesalahan ejaan lain yang perlu dieja dengan jarak juga dapat dilihat melalui perkataan 'dimana' yang perlu dieja 'di mana' serta perkataan 'rekabentuk' menjadi 'reka bentuk' yang merupakan kata majmuk berbentuk istilah khusus.



3.

(Sumber: Majalah Hijabista, 2016)


Analisis: Imbuhan awalan 'panca-' yang membawa pengertian kata bilangan berjumlah lima juga merupakan imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit. Gabungan imbuhan awalan ini dengan kata dasar juga akan membentuk kata nama. Berdasarkan sumber majalah di atas, kesalahan ejaan berlaku melibatkan perkataan yang dieja dengan jarak iaitu perkataan 'panca indera'. Maka, ejaan yang betul ialah 'pancaindera' yang membawa maksud lima jenis deria yang terdiri daripada deria lihat, deria bau, deria dengar, deria rasa dan deria sentuh. Bukan itu sahaja, penggunaan perkataan 'selfie' juga dianggap kurang formal dan boleh digantikan dengan perkataan 'swafoto' yang turut tergolong dalam imbuhan bahasa Sanskrit yang lain iaitu 'swa-'



4.

(Sumber: Jurnal Kosmologi Melayu dalam Konteks Kebangkitan Semula Islam Kini: Suatu Refleksi, 2003)


Analisis: Kata nama dapat diterbitkan melalui gabungan kata imbuhan awalan 'pra-' dengan kata dasar. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan awalan 'pra-' bermaksud syarat kepada sesuatu yang mengikutinya atau dalam maksud lain iaitu sebelum. Berdasarkan sumber jurnal di atas, perkataan 'pra-Merdeka' yang ditulis mempunyai kesalahan dari segi ejaan. Pertama melibatkan penggunaan kata sempang pada imbuhan dan kata dasar serta penggunaan huruf besar pada perkataan 'Merdeka' yang bukan kata nama khas. Maka, ejaan yang sebetulnya ialah 'pramerdeka' yang membawa maksud sebelum merdeka. Terdapat juga imbuhan awalan bahasa Sanskrit yang membawa maksud selepas iaitu imbuhan awalan 'pasca-' yang dapat dilihat melalui contoh di bawah.


5.

(Sumber: Jurnal Sejarah Populasi Sabah: Impak terhadap Sosioekonomi, 1960-an hingga 2000-an, 2019)


Analisis: Imbuhan awalan 'pasca-' merupakan imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit yang membawa maksud selepas atau sesudah. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), merdeka bermaksud bebas daripada penjajahan. Maka, perkataaan 'pasca merdeka' berdasarkan sumber jurnal di atas membawa maksud selepas bebas daripada penjajahan. Namun begitu, ejaan bagi perkataan 'pasca merdeka' sudah jelaslah salah kerana perkataan tersebut ditulis dengan jarak. Hal ini kerana, kata dasar yang digabungkan dengan imbuhan awalan 'pasca-' ini perlu ditulis dengan rapat untuk membentuk perkataan 'pascamerdeka'. Gabungan imbuhan awalan 'pasca-' dengan 'merdeka' ini akan membentuk kata nama iaitu 'pascamerdeka'.



KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA ARAB-PARSI


1.

(Sumber: Buku Muhammad Zulqarnain Sang Pemilik Strategi Global, 2020)


Analisis: Imbuhan awalan 'bi-' merupakan imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Arab-Parsi yang membawa maksud tidak. Gabungan kata dasar dengan imbuhan awalan ini akan menerbitkan kata adjektif. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), penggunaan imbuhan ini amat terhad walaupun imbuhan ini cuba untuk dipopularkan dalam pembentukan istilah sains dan teknologi. Berdasarkan sumber buku di atas, kesalahan ejaan berlaku melibatkan perkataan 'bi-adab' kerana melibatkan penggunaan kata sempang untuk menggabungkan imbuhan awalan 'bi-' dengan kata dasar 'adab'. Maka, ejaan yang betul adalah 'biadab' yang membawa maksud tidak beradab atau tidak mempunyai adab. Terdapat juga banyak kesalahan ejaan lain yang terdapat dalam buku di atas seperti kesalahan dari segi penjodoh bilangan yang dieja jarak iaitu 'se buah' yang sepatutnya dieja 'sebuah', ejaan 'mau' kepada 'mahu', serta melibatkan penggunaan huruf besar dan kecil iaitu 'berBudaya', 'berILMU' serta perkataan 'ILMU' menjadi 'berbudaya', 'berilmu' dan 'ilmu'. Terdapat juga kesalahan imbuhan akhiran '-iah' daripada pinjaman bahasa Arab- Parsi yang digunakan iaitu perkataan 'jahiliyyah' yang sepatutnya dieja 'jahiliah'.



2.

(Sumber: Buku Pengantar Perundangan Islam, 2002)


Analisis: Perkataan 'rabbaniyyah', 'alamiyyah' serta 'syumulliyah' telah mengalami kesalahan ejaan dari segi penggunaan imbuhan akhiran '-iah' bagi pinjaman imbuhan bahasa Arab-Parsi. Apabila suatu kata dasar digabungkan dengan imbuhan akhiran '-iah', perkataan yang dibentuk itu akan membentuk kata adjektif yang membawa maksud ciri atau sifat yang berkaitan dengan kata dasar. Berdasarkan sumber buku di atas, ejaan yang betul bagi perkataan 'rabbaniyyah', 'alamiyyah' serta 'syumulliyah' adalah 'rabbaniah', 'alamiah' serta 'syumulliah'. Rabbaniah membawa maksud ketuhanan, alamiah bermaksud semulajadi dan syumulliah bermaksud sempurna (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2017).



3.

(Sumber: Buku Pemetaan Adat Masyarakat Melayu Riau Kabupaten/Kota se-Provinsi Riau, 2006)


Analisis: Berdasarkan sumber buku di atas, jelaslah menunjukkan bahawa penggunaan imbuhan akhiran '-ah' yang merupakan pinjaman imbuhan daripada bahasa Arab-Parsi telah digunakan bersama kata dasar 'Qari'. Namun begitu, terdapat kesalahan ejaan pada perkataan 'Qari'ah' yang sepatutnya dieja 'Qariah' dan terdapat juga kesalahan dari segi penggunaan huruf besar bagi bukan kata nama khas seperti 'Qari' dan 'Qariah' yang sepatutnya menjadi 'qari' dan 'qariah'. Terdapat juga kesalahan yang lain dari segi ejaan iaitu 'surrah' yang sepatutnya dieja 'surah, penggunaan huruf kecil bagi kata nama khas seperti 'ar-rum' yang patut dieja 'ar-Rum', 'annisa' menjadi 'Annisa serta perkataan 'saritilawahnya' yang patut dieja jarak menjadi 'sari tilawahnya'. Beralih kepada imbuhan akhiran '-ah', imbuhan akhiran ini akan membentuk kata nama yang dapat membezakan antara lelaki dan perempuan. Contohnya, 'qari' yang menunjukkan pembaca al-Quran bagi lelaki manakala 'qariah' menunjukkan kepada pembaca al-Quran bagi perempuan.



3.

(Sumber: Jurnal Migrasi dan Lanskap Baharu Dialek di Johor, 2020)


Analisis: Imbuhan akhiran pinjaman Arab-Parsi iaitu '-wi' akan membentuk kata adjektif yang mencirikan sifat berkaitan dengan kata dasar. Imbuhan akhiran '-wi' akan digunakan apabila kata dasar berakhir dengan huruf vokal (Nik Safiah Karim et al., 2015). Namun begitu terdapat juga kata dasar yang berakhir dengan huruf konsonan, tetapi menggunakan imbuhan akhiran '-wi' seperti kata dasar 'sejarah' yang digabungkan dengan imbuhan akhiran '-wi', membentuk perkataan 'sejarawi' dengan menggugurkan konsonan 'h', dan membawa maksud perihal sejarah. Namun begitu, berdasarkan sumber jurnal di atas, perkataan yang sepatutnya dieja 'sejarawi' dieja 'sejarahwi' kerana huruf konsonan 'h' tidak digugurkan. Oleh sebab itu, berlakunya kesalahan ejaan bagi gabungan imbuhan akhiran tersebut dengan kata dasar. Terdapat juga kesalahan ejaan lain seperti 'lanskap' yang sepatutnya dieja 'landskap', serta melibatkan dua ejaan yang perlu dijarakkan iaitu 'penasihat' dengan 'Ensiklopedia'.


KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA YUNANI-LATIN-INGGERIS


1.

(Sumber: Buku British dan Perang Enam Hari 1967 Arab-Israel, 2017)


Analisis: Imbuhan awalan yang dipinjam daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris yang dapat ditunjukkan melalui contoh dari sumber buku di atas iaitu imbuhan awalan 'pro-'. Imbuhan awalan 'pro-' mendukung makna tanda bersetuju, menyebelahi serta memihak kepada sesuatu pihak (Nik Safiah Karim et al., 2015). Terdapat juga imbuhan awalan yang mendukung makna tidak bersetuju iaitu imbuhan awalan 'anti-'. Ejaan yang betul bagi perkataan 'pro-Barat' ialah 'probarat'. Hal ini kerana imbuhan awalan 'pro-' yang digabungkan dengan kata dasar 'barat' hendaklah dieja dengan rapat dan tidak disertakan dengan tanda sempang. Begitu juga dengan perkataan 'barat' yang perlu dieja menggunakan huruf kecil kerana 'barat' bukan kata nama khas. Antara contoh kata nama khas yang dieja dengan huruf besar berdasarkan contoh dari sumber buku di atas ialah perkataan 'Arab', 'Jordan', 'Amerika Syarikat' dan 'British' yang merupakan kata nama khas bagi tempat dan kata nama khas bagi orang pula ialah 'Presiden Naseer' dan 'Raja Hussein'.


2.

        (Sumber: Majalah Rapi, 2015)

Analisis: Imbuhan awalan 'anti-' pula bertentangan dengan imbuhan awalan 'pro-' kerana membawa erti tidak bersetuju, menentang, membantah atau melawan kepada sesuatu pihak. Kata dasar yang digandingkan dengan imbuhan awalan ini juga turut dieja dengan rapat dan bukannya dengan jarak mahupun menggunakan kata sempang. Berdasarkan sumber majalah di atas, perkataan 'anti kanser' dieja dengan jarak dan jelaslah menunjukkan bahawa kesalahan ejaan berlaku. Maka, ejaan yang betul ialah 'antikanser'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), kanser bermaksud penyakit barah. Maka, perkataan 'antikanser' membawa maksud melawan penyakit barah.



3.

(Sumber: Jurnal Kajian Psikolinguistik terhadap Gangguan Mekanisme Berbicara pada Anak Usia 7 Tahun, 2022)


Analisis: Imbuhan awalan 'supra-' juga tergolong dalam imbuhan pinjaman bahasa asing Yunani-Latin-Inggeris yang membawa maksud melebihi, merentas atau mengatasi. Setiap kata dasar yang digabungkan dengan imbuhan ini perlu dieja rapat dan bukannya dieja jarak, tidak menggunakan kata sempang atau huruf besar pada kata dasar. Contohnya, sumber jurnal di atas menunjukkan kesalahan ejaan dari segi perkataan yang ditulis dengan jarak iaitu 'supra segmental' dan ejaan yang betul ialah 'suprasegmental'. Segmental merupakan golongan yang terdapat dalam fonem dikenali sebagai fonem segmental yang terlibat dalam bidang fonetik dan fonologi bahasa Melayu.


4.

(Sumber: Jurnal Aplikasi Maqasid al-Syariah dalam Pentadbiran Negara: Satu Tinjauan Sejarah Islam, 2015)


Analisis: Terdapat imbuhan awalan bahasa Yunani-Inggeris-Latin yang membawa maksud sebahagian daripada keseluruhan iaitu imbuhan awalan 'sub-'. Imbuhan awalan 'sub-' yang digabungkan dengan mana-mana kata dasar juga perlu dieja perkataan tersebut dengan rapat. Namun begitu, hal ini bertentangan dengan sumber jurnal di atas yang dieja imbuhan awalan 'sub-' dengan kata dasar menggunakan tanda sempang iaitu perkataan 'sub-tajuk'. Maka ejaan yang sebetulnya ialah 'subtajuk' yang membawa maksud sebahagian daripada tajuk. Terdapat juga contoh lain yang dapat diberikan selain daripada sumber di atas seperti perkataan 'subkategori', 'subgolongan' serta 'subkelas'.



5.

(Sumber: Jurnal Mampukah Akad Syariah Menghindarkan Persoalan Riba, 2014)


Analisis: Beralih kepada imbuhan akhiran bagi imbuhan Yunani-Latin-Inggeris yang dipinjam, terdapat imbuhan akhiran '-isme' yang digunakan dalam sumber jurnal di atas yang akan membentuk suatu kata nama. Sebelum dan selepas menggabungkan imbuhan akhiran ini dengan kata dasar, kata dasar mempunyai definisi yang agak berbeza . Contoh yang dapat diberikan berdasarkan sumber jurnal di atas ialah perkataan 'Kapital-isme' yang sepatutnya dieja 'Kapitalisme'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), 'kapital' bermaksud modal yang diperlukan dalam pembangunan negara. 'Kapitalisme' pula membawa maksud sistem ekonomi berdasarkan pasaran dan persaingan bebas yang menggalakkan kepada keuntungan. Terdapat juga perkataan lain yang turut menggunakan imbuhan akhiran '-isme' seperti perkataan 'Sekularisme', 'Sosialisme' serta 'Atheisme'. Bukan itu sahaja, terdapat juga imbuhan akhiran '-in' yang dipinjam daripada bahasa Arab-Parsi digunakan seperti perkataan 'Muslimin'.  Justeru itu, masih ada kesalahan ejaan yang terkandung dalam jurnal di atas seperti perkataan 'memperduli-kan' yang patut dieja 'mempedulikan', 'dikarenakan' menjadi 'dikeranakan' atau menggunakan perkataan 'kerana' sahaja serta 'Syariat Islam' menjadi 'syariat Islam' kerana perkataan Islam sahaja yang menunjukkan kepada kata nama khas.



ISU KESALAHAN PEMBENTUKAN PERKATAAN BAHARU DARIPADA IMBUHAN BAHASA ASING (MEDIA ELEKTRONIK)


KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA SANSKRIT


1.

(Sumber:Twitter,
https://x.com/1nserttranstv/status/1768739720920449133?s=46&t=Oxhr2icqUN-9wS9lOJ9syQ)


Analisis: Imbuhan awalan 'tata-' merupakan imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan 'tata-' bermaksud peraturan atau suatu susunan yang dapat membentuk kata nama. Imbuhan awalan 'tata-' yang digabungkan dengan mana-mana kata dasar hendaklah dieja dengan rapat. Namun begitu, terdapat kesalahan ejaan yang terdapat berdasarkan sumber Twitter di atas iaitu perkataan 'tata caranya' yang dieja dengan jarak dan sepatutunya dieja dengan rapat iaitu 'tatacaranya'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), 'tatacara' bermaksud cara dan peraturan. Terdapat juga kesalahan lain seperti kesalahan kata pinjaman Arab yang digunakan iaitu perkataan 'sholat' yang sepatutnya dieja 'solat'.


2.

Analisis: Imbuhan awalan 'swa-' juga termasuk dalam imbuhan pinjaman bahasa Sanskrit yang dapat membentuk kata nama. Imbuhan ini membawa maksud sendiri dan perlu dieja dengan rapat tanpa adanya jarak dan penggunaan tanda sempang. Berdasarkan sumber Facebook di atas, pengguna Facebook telah mengeja 'swafoto' sebagai 'swa foto' dengan adanya jarak. Maka, perkataan ini sememangnya dieja dengan salah. Perkataan 'swafoto' juga merupakan kata pinjaman bahasa Inggeris yang dipadankan bersama dengan perkataan 'selfie' yang telah digubal dan menjadi perkataan 'swafoto' dalam bahasa Melayu. Menurut Salmah Jabbare (2020), masyarakat pengguna bahasa Melayu turut menggunakan perkataan 'selfi'. Namun begitu, perkataan 'selfie' tidak sesuai digunakan dalam bahasa rasmi atau formal dan sebaliknya perlu menggunakan perkataan 'swafoto'. Terdapat juga penggunaan imbuhan awalan bahasa Sanskrit yang lain iaitu imbuhan awalan 'maha-' dengan kata dasar 'siswa' membentuk perkataan 'mahasiswa' yang bermaksud pelajar di peringkat universiti.



3.

Analisis: Imbuhan awalan 'tuna-' yang membawa maksud tidak mempunyai atau tiada merupakan imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit juga. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), bahasa Indonesia banyak menggunakan imbuhan ini berbanding dengan bahasa Melayu. Kata dasar yang digabungkan dengan imbuhan awalan ini juga perlu dieja dengan rapat tanpa dijarakkan. Berdasarkan contoh dari sumber Youtube di atas, penggunaan imbuhan awalan 'tuna-' dengan kata dasar 'karya' telah membentuk perkataan 'tuna karya' yang dieja dengan jarak. Maka, ejaan yang betul ialah 'tunakarya' dan perkataan ini membentuk suatu kata nama. Oleh itu, perkataan 'tunakarya' membawa maksud tidak mempunyai pekerjaan atau dengan lebih spesifiknya, merujuk kepada penganggur.


KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA ARAB-PARSI


1.

Analisis: Imbuhan akhiran bahasa Arab-Parsi yang terdiri daripada imbuhan akhiran '-in' dan '-at', dapat membezakan jantina atau kata nama bagi lelaki dan perempuan. Contohnya, imbuhan akhiran '-in' menunjukkan kepada kata nama bagi lelaki manakala imbuhan akhiran '-at' menunjukkan kepada kata nama bagi perempuan. Menurut Nik Safiah Karim et al. (2015), imbuhan akhiran ini sering digunakan dalam pertuturan orang-orang Melayu. Berdasarkan sumber Twitter di atas, terdapat kesalahan ejaan yang berlaku tentang penggunaan imbuhan akhiran bagi kata nama perempuan yang digunakan imbuhan '-un' yang tiada dalam imbuhan bahasa Melayu dan bukannya menggunakan imbuhan akhiran '-at' yang dipinjam. Maka, ejaan yang betul ialah 'hadirat' dan bukannya 'hadirun'. Terdapat juga kesalahan ejaan yang lain iaitu 'pernihakan' yang sepatutnya dieja 'pernikahan' serta perkataan 'gak' yang sepatutnya dieja 'tidak'. Terdapat juga kata pinjaman bahasa Arab yang dieja dengan salah seperti perkataan 'afdol' yang sepatutnya dieja 'afdal'.


2.

(Sumber: Facebook,


Analisis: Imbuhan akhiran '-wi' telah digunakan bersama dengan kata dasar 'dunia' dan membentuk kata adjektif yang mencirikan sifat bagi kata dasar tersebut. Kata dasar 'dunia' yang berakhir dengan huruf vokal 'a' akan menggunakan imbuhan akhiran '-wi' tanpa menggugurkan mana-mana huruf. Kata dasar yang digabungkan dengan imbuhan ini juga mestilah dieja rapat dan bukannya jarak. Berdasarkan contoh dari sumber Facebook di atas, pengguna Facebook telah menulis perkataan 'dunia wi' yang dieja dengan jarak sehingga berlakunya kesalahan dari segi ejaan. Maka, ejaan yang betul adalah 'duniawi' yang membawa maksud keduniaan atau mementingkan keduniaan.


3.

Analisis: Berdasarkan sumber Youtube di atas, terdapat kesalahan ejaan bagi imbuhan akhiran yang dipinjam daripada bahasa Arab Parsi iaitu imbuhan akhiran '-iah' yang turut membentuk kata adjektif yang mencirikan sifat bagi kata dasar yang digunakan. Kata dasar yang digunakan ialah 'Alam'. Apabila kata dasar ini digabungkan dengan imbuhan akhiran '-iah', perkataan yang akan terbentuk adalah 'Alamiah' dan bukannya 'Alamiyyah'. Perkataan 'Alamiah' ini mendukung maksud semula jadi (Kamus Dewan Edisi Keempat, 2017).


KESALAHAN IMBUHAN BAHASA ASING: BAHASA YUNANI-LATIN-INGGERIS


1.

Analisis: Imbuhan awalan 'anti-' merupakan imbuhan pinjaman bahasa Yunani-Latin-Inggeris yang mendukung makna tidak bersetuju serta membantah. Kata dasar yang digabungkan dengan imbuhan ini perlulah dieja dengan rapat dan bukannya jarak atau disertakan dengan tanda sempang. Namun begitu, berdasarkan sumber Twitter di atas, kata dasar 'sosial' yang membawa maksud perihal masyarakat yang digandingkan dengan imbuhan awalan 'anti-' telah dieja dengan jarak iaitu 'anti sosial' dan ejaan yang betul iaitu 'antisosial'. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat (2017), antisosial bermaksud tidak suka bergaul dengan masyarakat.


2.

(Sumber: Facebook
https://www.facebook.com/share/RQiZLTVqwuqmMb9e/?mibextid=WC7FNe)


Analisis: Imbuhan awalan 'pro-' membawa maksud yang bertentangan dengan imbuhan awalan 'anti-' iaitu tanda bersetuju dan memihak. Walau bagaimanapun, perkataan yang akan terbentuk hendaklah dieja dengan rapat apabila kata dasar digabungkan dengan imbuhan ini. Contohnya, pengguna Facebook di atas telah mengeja perkataan 'pro-demokrasi' dengan salah kerana menggunakan tanda sempang antara imbuhan awalan 'pro-' dengan kata dasar 'demokrasi'. Maka, perkataan yang betul hendaklah dieja dengan rapat iaitu 'prodemokrasi' yang mendukung makna menyokong demokrasi.




3.

Analisis: Imbuhan awalan 'sub-' merupakan imbuhan yang dipinjam daripada bahasa Yunani-Latin-Inggeris yang bermaksud sebahagian daripada keseluruhan. Contoh perkataan yang dapat diberikan ialah 'subtema' yang bermaksud sebahagian daripada tema. Namun begitu, perkataan 'subtema' telah dieja dengan salah melalui sumber yang terdapat dalam sumber Youtube di atas iaitu 'sub tema' yang dieja dengan jarak. Bahkan, terdapat juga pengguna lain yang mengeja 'subtema' dengan menggunakan tanda sempang seperti 'sub-tema'. Maka, perkataan yang dieja dengan jarak dan tanda sempang ini salah dari segi ejaan dalam bahasa Melayu.


KESALAHAN KATA PINJAMAN


KESALAHAN KATA PINJAMAN: BAHASA SANSKRIT



Rajah 10: Kesalahan Kata Pinjaman bahasa Sanskrit


Analisis: Terdapat juga kesalahan daripada kata pinjaman bahasa Sanskrit yang diserap dalam bahasa Melayu. Contohnya, berlaku kesalahan ejaan yang terdapat dalam media cetak seperti iklan di atas iaitu perkataan 'telefon' yang dipinjam daripada bahasa Sanskrit yang dieja salah iaitu 'talifon'.


KESALAHAN KATA PINJAMAN: BAHASA ARAB

1.

Rajah 11: Kesalahan Kata Pinjaman bahasa Arab



Analisis: Perkataan 'ramadan' merupakan kata pinjaman daripada bahasa Arab. 'Ramadan' merupakan bulan puasa bagi orang yang beragama Islam. Namun begitu, berdasarkan contoh rajah di atas yang terdapat pada papan tanda, ejaan 'ramadan' dieja dengan salah iaitu 'ramadzan' dengan menambahkan huruf 'z' dalam perkataan tersebut. Namun begitu, terdapat juga segelintir masyarakat yang mengeja perkataan 'ramadan' dengan menambahkan huruf 'h' membentuk perkataan 'ramadhan'. Terdapat juga kesalahan ejaan lain iaitu 'Sabutan' yang sepatutnya dieja 'Sambutan' serta 'Al Murabak' yang sepatutnya dieja 'al-Mubarak'.


KESALAHAN KATA PINJAMAN: BAHASA INGGERIS

1.

Rajah 12: Kesalahan Kata Pinjaman bahasa Inggeris


Analisis: Perkataan 'clinic' yang dipinjam daripada bahasa Inggeris telah digubal kepada 'klinik' dalam penggunaan bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, terdapat kesalahan yang berlaku berdasarkan rajah di atas yang terdapat pada papan tanda yang diejanya perkataan 'klinik' kepada 'kelinik'. Kebiasaannya, kesalahan ejaan pada papan tanda ini dilakukan oleh masyarakat Cina.


KESALAHAN KATA PINJAMAN: BAHASA CINA


1.

Rajah 13: Kesalahan Kata Pinjaman bahasa Cina



Analisis: 'Mi', 'Mihun' serta 'Kuetiau' merupakan perkataan yang telah digubal kerana merupakan kata pinjaman daripada bahasa Cina. Namun begitu, kesalahan dalam ejaan acap kali berlaku dalam masyarakat Melayu yang sering mengeja perkataan 'Mi' kepada 'Mee', 'Mihun' kepada 'Mee Hoon' serta 'Kuetiau' kepada 'Kueh Tiaw'. Hal ini dapat dibuktikan melalui papan tanda yang terdapat di kedai makan yang kebiasaannya antara mereka mengejanya dengan salah sehingga berlakunya kesalahan dari segi ejaan bagi kata pinjaman.



RUJUKAN





BIODATA PENULIS




Nama yang diberikan oleh ibu bapa penulis ialah Syafiqah yang dilahirkan pada tahun 2004. Penulis berasal dari sebuah negeri di Pantai Timur iaitu Terengganu Darul Iman dan gelaran yang diberikan oleh keluarga dan rakan penulis ialah 'Ika'. Penulis merupakan anak keenam daripada tujuh orang adik beradik. Penulis merupakan seorang siswi di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu dan berada pada semester kedua bagi tahun pertama Ijazah Sarjana Muda Perguruan. Opsyen utama penulis ialah bahasa Melayu dan opsyen kedua pula ialah Sejarah. Tujuan penulis menulis blog ini adalah untuk melengkapkan tugasan yang kedua bagi kod kursus BMMB3203, Morfologi Bahasa Melayu iaitu penghasilan produk berkaitan dengan kesalahan dalam pembentukan perkataan baharu dari segi penggunaan imbuhan bahasa asing. Maka, penulis berharap agar penyampaian ilmu melalui blog ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya oleh para pembaca.



PENERANGAN






No comments:

Post a Comment